Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Imran mengakui tidak tahu siapa merakam video tersebut dan mendakwa guru tersebut hanya akan naik tangan jika dia berang dengan pelajarnya.
“Selalu (tenaga pengajar) tangan ja... kemarin taktaw sampai jdi macam tu (selalu tangan sahaja... semalam tidak tahu sampai jadi macam itu) . Semalam pertama kali dia pukul kepala dan tendang,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.
Menurut pelajar berusia 20 tahun itu, setakat ini dia belum membuat sebarang laporan polis kerana ibu bapanya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan tenaga pengajar terbabit sebelum mengambil tindakan lanjut.
Tindakan seorang tenaga pengajar yang menggunakan kekerasan terhadap pelajarnya telah mengundang kemarahan netizen selepas video berdurasi 1 minit 42 saat itu tersebar di laman sosial Facebook.


Video itu menunjukkan seorang pelajar sedang membetulkan kompresor penghawa dingin sambil diperhatikan oleh seorang tenaga pengajar.
Namun pada 0.28 saat, tenaga pengajar tersebut kelihatan mulai berang dan bertindak menarik telinga, mengetuk kepala pelajar terbabit sebelum mengeluarkan ungkapan bodoh kira-kira 14 saat kemudian.
Sambil memberi penerangan kepada pelajarnya dalam nada marah, tenaga pengajar tersebut dilihat menendang kaki pelajarnya pada pada 0.48 saat.
Pada 0.58 saat, lelaki berbaju merah itu sekali lagi memukul kepala pelajar tersebut sambil mengungkap perkataan bodoh sebelum menyepak remaja yang tengah duduk melutut sehingga terjatuh semasa membetulkan kompresor tersebut.
Tenaga pengajar itu kemudian menampar muka pelajar itu sebanyak dua kali ketika video berdurasi 1 minit 35 saat sambil bertanya sama ada pelajar itu faham atau tidak.
Video itu ditonton sebanyak 188,000 di laman Facebook ViralMeletop dan 5,717 kongsi sehingga 3.30 petang ini.